Kota London pernah hangus terbakar dan
diabadikan kisahnya di monumen ini
Setelah sekian lama
merancang, barulah pada bulan Ogos 2017 yang lalu penulis dapat menjejakkan
kaki ke United Kingdom (UK). Perjalanan agak meletihkan memandangkan masa
selama 13 jam diambil untuk perjalanan udara dari KLIA ke Lapangan Terbang
Heathrow. Usai mendarat dan mengambil bagasi, penulis terus turut ke tingkat
bawah untuk membeli kad Oyster di kedai serbaneka bagi kemudahan menggunakan
Tube (pengangkutan awam seperti LRT di Kuala Lumpur). Dengan berbekalkan google
maps dan aplikasi London Tube di telefon bimbit sebagai penunjuk arah, penulis
memulakan perjalanan di UK dimulai di Kota London.
Walaupun ketika itu
musim panas telah bermula, namun cuaca masih agak nyaman dan banyak membantu
penulis yang memutuskan untuk lebih banyak berjalan kaki di bandaraya ini.
Seperkara yang penulis sedari, wajah pelbagai bangsa dan bahasa menghiasi sepanjang
perjalanan penulis. Ada yang berkulit hitam, wanita berhijab, kulit putih
tetapi dengan lenggok bahasa Eropah timur dan sebagainya. Mungkin terdapat
kebenaran yang didengari sebelum ini bahawa kota London telah menjadi sebuah
kota multi etnik. Dan kehadiran pendatang ini dikatakan antara salah satu punca
utama UK menginginkan Brexit (keluar dari Kesatuan Eropah). Agak ironi untuk
sebuah negara kuasa dunia yang sebelum ini dengan mudah memerdekakan beberapa
tanah jajahan mereka dengan syarat menerima golongan pendatang yang di bawa masuk
oleh mereka sendiri dan mengkritik dasar untuk mengukuhkan kedudukan pribumi yang
ketinggalan berbanding golongan pendatang sebagai satu bentuk perkauman.
Singgah solat di
sebuah Masjid kecil yang terletak di 33 Brokes Court,
disebelahnya terdapat
sebuah gereja besar
Setelah melawat melawat
beberapa mercu tanda utama bandar ini, akhirnya penulis dapat juga berjumpa
dengan monumen yang dicari-cari. Bukan Big Ben, Tower Bridge, atau Trafalgar
Square, tetapi London Wall. Monumen ini mungkin tidak popular atau diketahui
oleh pelancong asing yang datang ke sini, tetapi amat menarik perhatian penulis.
Monumen ini yang merupakan peninggalan zaman Roman di kota London, hanyalah
sekadar sisa-sisa runtuhan dinding sahaja. Ianya mungkin langsung tidak ekonomik
pada sesetengah pihak serta tidak berdiri se-gah monumen-monumen lain, namun
tetap terpelihara dan dijaga di kota metropolitan bertaraf dunia yang pesat
membangun seperti London. Bayangkan, walaupun dikiri dan kanan London Wall ini
telah terbina pelbagai bangunan seperti Stesen Tube, namun sisa-sisa dinding
bersejarah ini masih kekal dipelihara. Jadi, siapa yang kata penemuan artifak
atau sisa-sisa binaan purba merupakan penghalang kepada pembangunan dan perlu
dihapuskan? Kota London telah membuktikan sisa-sisa monumen purba boleh dipelihara
dan diintegrasikan dengan pembangunan yang ingin dilaksanakan.
Sisa dinding London Wall
Sisa runtuhan London Wall diletakkan di dalam kaca
Setelah puas
menjelajah kota London selama lebih dari 2 hari, maka baru penulis memulakan
pula perjalanan ke pinggir bandar untuk menuju ke Cambridge City. Seperti di
negara kita, keadaan di kawasan luar bandar ini adalah lebih tenteram suasananya.
Di kawasan pinggir bandar, barulah dapat dilihat wajah-wajah kulit putih
English yang lebih homogenous berbanding dengan kota London. Agak menarik
melihat buah-buahan seperti berry, epal dan pair tumbuh meliar di bahu-bahu
jalan. Penulis juga ada merasa buah berry yang tumbuh meliar ini tetapi saiznya
agak kecil. Dan diingatkan oleh rakan dengan nada melawak agar memetik buah
yang terletak tinggi dan ke dalam, kerana buah di tepi jalan terdedah kepada
najis binatang peliharaan.
Buah Berry yang tumbuh meliar di tepi jalan
Memandangkan UK pada
waktu tersebut masih hangat dengan pasca-Brexit, berdasarkan kepada maklumat
yang diperolehi menerusi perbualan dengan masyarakat setempat, maka penulis
dapat berkongsikan beberapa info yang mungkin tepat atau sebaliknya seperti
berikut :
1) Britain mahukan lebih kuasa perundangan termasuk dari
segi kawalan kemasukan pendatang luar. Selaras dengan sejarah Britain yang
pernah menjadi sebuah kuasa dunia, mereka tidak mahu dilihat seolah-olah
terpaksa tunduk kepada kehendak Brussels (Ibukota Belgium yang juga de facto Kesatuan Eropah);
2) Tetapi mengapa keputusan pungutan suara Brexit
menunjukkan Kota London serta Scotland memilih sebaliknya iaitu mahu kekal di
dalam Kesatuan Eropah? Ini kerana masyarakat Kota London adalah heterogenous
yang terdiri dari pelbagai kaum dan etnik termasuk pendatang dari negara-negara
EU lain yang bebas keluar masuk ke UK. Melalui EU, rakyat Scotland pula
merasakan mereka adalah sebahagian daripada keluarga besar Eropah dan bukannya
semata-mata di bawah pentadbiran England.
3) Tetapi dengan memilih Brexit, Britain perlu menyelesaikan
banyak perkara termasuk status rakyat dari negara-negara EU lain yang tinggal
di UK, serta nasib rakyat mereka sendiri yang tinggal di negara-negara EU yang
lain. Seperkara lagi, soal kawalan sempadan antara Ireland Utara (UK) dengan
Republik Ireland yang sebelum ini ‘kabur’ kerana kedua-duanya merupakan ahli
EU. Britain juga perlu menggubal beberapa undang-undang sendiri yang sebelum
ini menggunakan perundangan di bawah EU.
Untuk catatan
bergambar lain, sila rujuk pautan di FB :
1. Melayu
Bukan Pribumi Kerana Raja dan Masyarakatnya Banyak Berdarah Campuran? Cuba
Lihat Contoh di England!
2. Terjemahan
Al-Quran Kuno Bertulisan Hebrew
3. Cambridge
Museum III
4. Cambridge
Museum II
5. Cambridge
Museum I
6. University
of Cambridge
7. British
Museum III
8. British
Museum II
9. British
Museum I
Akan datang, Catatan
Perjalanan : Netherland
Artikelnya banyak memeberikan pengetahuan yang bermanfaat bagi banyak orang.
ReplyDeleteSilahkan berkunjung ke blog saya untuk mengetahui napak tilas sejarah mojokerto