Seperti yang pernah
ditulis sebelum ini, definisi ‘Melayu’ di negara kita adalah berbeza dengan
negara jiran kita iaitu Indonesia. Di negara kita, ‘Melayu’ dirujuk sebagai
satu rumpun atau ras yang menghimpunkan secara bersama Melayu Jati/anak negeri
(Melayu Kelantan, Melayu Kedah dan sebagainya), Melayu anak dagang
(Melayu-Jawa, Melayu-Bugis dan sebagainya) serta Melayu Peranakan/kacukan
(Melayu-Arab, Melayu-Mamak dan sebagainya) serta didefinisikan dengan jelas di
bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya di
Indonesia yang dihuni oleh ratusan kumpulan etnik (atau ‘suku bangsa’ dalam
Bahasa Indonesia), Melayu merupakan salah satu daripada kaum minoriti yang
wujud. Jika dirujuk kepada maklumat bancian rasmi yang terdapat di dalam Sensus
Penduduk Indonesia Tahun 2010, suku bangsa Melayu merupakan yang ke-10 terbesar
iaitu sebagaimana yang ditunjukkan di dalam Jadual di bawah ini:
Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa perkara yang menghairankan penulis apabila meneliti laporan
berkenaan beberapa tahun dahulu. Perkara pertama, Melayu Palembang dan Melayu
Jambi tidak lagi dikategorikan di bawah suku bangsa Melayu sebagaimana di dalam sensus tahun 2000 sebaliknya hanya
disebut sebagai ‘Palembang’ dan ‘Jambi’ sahaja dan masing-masing diletakkan di
bawah kumpulan ‘Suku Asal Sumatera Selatan’ dan ‘Suku Asal Jambi’ bersama-sama
etnik minoriti lain yang terdapat di kedua-dua provinsi berkenaan.
Begitu jugal halnya
kepada Melayu Musi Sekayu, Melayu Bangka, Melayu Belitong, Melayu Enim dan
Melayu Pegagan yang sebelum ini ada disebut di dalam Sensus Tahun 2000 tetapi
tidak lagi dinyatakan sebagai Melayu di dalam Sensus Tahun 2010.
Perkara yang paling
melucukan adalah apabila Melayu Kalimantan/Borneo diletakkan di bawah kumpulan
Dayak dan bukannya Melayu. Dapat dilihat di bawah ini apabila Melayu Pontianak
dan Melayu Sambas dinyatakan sebagai ‘Dayak Melayu Pontianak’ dan ‘Dayak Melayu
Sambas’ bersama-sama dengan ratusan sub-etnik Dayak yang lain walaupun mereka
bukannya kaum Dayak.
Walau bagaimanapun,
penulis akhirnya berjaya menemui kajian yang telah dibuat oleh sarjana-sarjana Indonesia sendiri yang telah meneliti laporan Sensus Penduduk Indonesia
bagi tahun 2000 dan 2010. Berdasarkan kepada analisis data yang telah dibuat,
mereka menyimpulkan bahawa etnik Melayu yang termasuk juga sub-etnik di
bawahnya sebenarnya merupakan suku bangsa ketiga terbesar di Indonesia iaitu selepas
kaum Jawa dan kaum Sunda.
Jika etnik
Minangkabau diasingkan daripada etnik Melayu di dalam sensus berkenaan, perkara
tersebut masih boleh difahami walaupun Minangkabau juga sebenarnya merupakan
salah satu sub-etnik Melayu. Tetapi rasanya tidak sesuai pula apabila sub-etnik
Melayu yang lain seperti Melayu Palembang, Melayu Jambi, Melayu Pontianak dan
sebagainya dikeluarkan daripada kategori Melayu. Adalah menjadi satu kebiasaan
untuk orang Melayu memperkenalkan diri mengikut nama negerinya. Sebagai contoh,
‘saya orang Kelantan’, ‘saya orang Terengganu’, dan sebagainya. Pengenalan ini
walau bagaimanapun lebih sesuai dirujuk sebagai sub-etnik kerana mereka masih
lagi berbangsa Melayu.
Selain daripada
itu, etnik-etnik pribumi beragama Islam di Sumatera dan Kalimantan
yang bertutur dalam Bahasa Melayu mengikut dialek daerah/wilayah masing-masing juga masih
boleh dikategorikan sebagai ‘Melayu’. Contohnya, Melayu Sanggau, Melayu Berau, dan
sebagainya. Bukankah beragama Islam dan bertutur dalam Bahasa Melayu merupakan
dua petunjuk utama kepada identiti bangsa Melayu?
Jika suku bangsa
Batak yang meliputi kesemua lapan (8) sub-etnik boleh diletakkan di bawah satu
kategori kumpulan yang sama iaitu ‘Batak’ hingga dinyatakan sebagai suku bangsa
ke-3 terbesar dalam laporan rasmi Sensus Penduduk Indonesia 2010, mengapa pula
suku bangsa Melayu tidak boleh diletakkan sekelompok secara bersama? Mungkin boleh dipertimbangkan agar bagi sensus yang akan
datang, dua (2) kumpulan utama suku bangsa Melayu
di Indonesia diletakkan di dalam sensus berkenaan iaitu Melayu Pesisir (coastal Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di
Sumatera dan Melayu Kalimantan (Bornean
Malay) bagi etnik-etnik Melayu yang terdapat di Kalimantan. Kedua-dua
istilah ini adalah lebih tepat dan sesuai untuk digunakan.
Bibliografi :
1.
Sensus
Penduduk Indonesia Tahun 2010
2. Aris Ananta, Evi Nurvidya Arifin, M Sairi Hasbullah,
Nur Budi Handayani, Agus Pramono (2015) Demography
of Indonesia's Ethnicity, ISEAS
3. Leo Suryadinata,
Evi Nurvidya Arifin, Aris Ananta (2003) Indonesia's Population: Ethnicity and
Religion in a Changing Political Landscape, ISEAS