Dihadapan tugu King Sejong The Great
Penulis baru sahaja menamatkan lawatan ke Republik Korea
pada minggu lepas. Republic of Korea
sebenarnya merupakan nama rasmi bagi negara Korea Selatan. Sementara nama rasmi
bagi negara saudara jiran mereka di utara ialah Democratic People’s Republic of Korea. Ya, walaupun jiran mereka di
utara sebenarnya berfahaman Komunis dan diperintah secara autokratik oleh satu
keluarga sahaja secara turun temurun, namun mereka tanpa rasa bersalah meletakkan
perkataan ‘Democratic’ pada negara
mereka. Mengingatkan penulis kepada sebuah parti politik chauvinist di negara
kita.
Minat untuk melawat Korea sebenarnya bermula selepas
mendengar satu ceramah setahun yang lalu mengenai kemampuan Korea yang merupakan
satu-satunya negara Asia yang berupaya untuk menandingi kemajuan negara Jepun.
Dalam ceramah berkenaan, ada diceritakan mengenai usaha Korea menjemput
jurutera-jurutera pakar dari Jepun dengan upah yang amat tinggi pada penghujung
tahun 90-an untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja serta teknologi
mereka. Jika negara kita pernah mengadakan ‘Dasar Pandang ke Timur’ dengan
menjadikan negara Jepun sebagai model contoh, Korea juga mempunyai dasar yang
seakan-akan sama, tetapi mereka tidak sekadar memandang kepada Jepun, tetapi berpegang
kepada prinsip ‘Do Better Than Japan’.
Republik Korea mempunyai penduduk melebihi 50 juta orang,
iaitu lebih ramai berbanding penduduk Malaysia. Tetapi keluasan negara mereka adalah
lebih kecil daripada semenanjung Malaysia. Sepanjang pengembaraan di Korea,
penulis dapat melihat betapa kecilnya keluasan kedai-kedai dan kediaman mereka
berbanding dengan negara kita. Memandangkan keadaan geografi Korea adalah berbukit
bukau tetapi kepadatan penduduknya amat tinggi, kebanyakan bangunan termasuk
kediaman terpaksa dibina meninggi ke atas. Masyarakat Korea suka memakan
sayur-sayuran yang dijeruk seperti Kimchi bersama-sama nasi, dan mereka hanya meminum air masak
yang disejukkan sewaktu makan.
Pada pengamatan penulis, masyarakat Korea mempunyai jati
diri kebangsaan yang amat tinggi. Mungkin juga secara kebetulan pada hujung
minggu berkenaan beberapa festival diadakan, di kiri dan kanan jalanraya
dipenuhi oleh orang awam yang berpakaian tradisional Hanbok. Paling menarik,
mereka menggunakan faktor sejarah untuk menaikkan jati diri masyarakat mereka.
Pemandu Pelancong di Istana Gyeongbok tidak henti-henti menceritakan sejarah survival
perjuangan bangsa Korea menentang bangsa Jepun yang cuba menjajah mereka, serta
peperangan dengan jiran komunis mereka di utara yang secara teknikalnya masih
berlangsung sehingga ke hari ini.
Bersama Pengawal Istana Gyeongbok
Bersebelahan di luar Istana Gyeongbok, berdiri megah dua
tugu tokoh Korea yang dijadikan sebagai simbol kebangkitan bangsa Korea iaitu
Raja Sejong Yang Agung (Sejong The Great) dan Laksamana (Admiral) Yi Sunshin. Raja Sejong merupakan Raja Korea yang
bertanggungjawab mencipta tulisan Korea iaitu Hangul yang menjadi pemangkin
kepada pembangunan bangsa Korea, sementara Laksamana Yi Sunshin pula tidak
pernah tewas dalam pertempuran dan bertanggungjawab mengalahkan angkatan tentera Jepun
yang cuba menawan negara mereka walaupun bilangan tentera Jepun adalah jauh
lebih besar berbanding dengan tentera Korea.
Tugu Admiral Yi Sunshin
Namun begitu, masyarakat Korea tidak ‘merindui’ sistem
monarki mereka. Mereka tidak mengambil peduli pun dimana waris raja terakhir
mereka berada dan tidak berhasrat untuk mengembalikan sistem monarki
sebagaimana negara Jepun. Apabila perkara ini ditanyakan kepada Pemandu
Pelancong, beliau menyatakan bahawa sistem monarki sudah tidak lagi relevan di
Korea memandangkan rakyatnya telah selesa dengan sistem Republik yang
mengandungi Presiden dan Perdana Menteri. Apatah lagi pengaruh Amerika Syarikat
yang masih lagi kuat di negara berkenaan sudah pasti tidak bersetuju sistem
beraja dikembalikan di Korea. Secara berjenaka, pemandu pelancong berkenaan
menyatakan sekiranya mahu melihat Raja Korea pada hari ini, bolehlah melihat
kepada saudara mereka di utara yang telah pun mempunyai dinasti ‘Beraja’ mutlak dalam
bentuk baru.
Singgahsana Raja Korea di dalam Istana Gyeongbok
Berdasarkan kepada maklumat yang disampaikan juga,
Republik Korea mulai bangkit ketika di bawah pemerintahan Presiden yang ketiga
iaitu Park Chung-Hee. Mungkin hampir sama dengan bentuk pentadbiran Lee Kuan
Yew dalam memajukan Singapura, pentadbiran Park Chung-Hee telah dikritik
sebagai berbentuk diktator. Tambahan lagi beliau memerintah sehingga selama lima penggal sebelum mati dibunuh. Tetapi tempoh pemerintahan beliau telah digunakan sepenuhnya untuk memajukan Republik Korea. Antara
jasa terawal beliau untuk memajukan Republik Korea dimulakan dengan membina
infrastruktur jalan raya yang menghubungkan seluruh negara berkenaan.
Kawalan keselamatan di sini amat-amat ketat. Teka sendiri ini bangunan apa.
Penulis meninggalkan kawasan Gwanghwamun Square dengan
sedikit perasaan hampa kerana tidak berjaya menjumpai sebarang barang atau
kesan peninggalan alam Melayu di Istana Gyeongbok mahupun di Muzium Sejong. Menurut
pemandu pelancong, Dinasti Joseon tidak mempunyai banyak hubungan dengan alam
Melayu. Perjalanan diteruskan ke Masjid Itaewon untuk Solat Jama’. Di sini,
barulah penulis mendapat satu maklumat yang menarik. Menurut seorang rakyat
Malaysia yang menginap di Korea, tapak bagi Masjid Itaewon telah diwakafkan
oleh Perdana Menteri pertama kita iaitu almarhum Tunku Abdul Rahman. Bagaimana
pula beliau boleh mempunyai tanah di Korea? Menurutnya, Malaysia pada awal zaman kemerdekaannya banyak membantu Korea yang ketika itu amat daif dan ketinggalan kesan daripada peperangan dengan saudara komunis mereka di utara.
Atas jasa itulah, Kerajaan Korea kemudian telah mengurniakan sebidang tanah
kepada almarhum Tunku yang kemudiannya bertindak mewakafkan pula tapak
berkenaan bagi pembangunan sebuah Masjid.
Masjid Itaewon
Terdapat banyak perkara positif yang boleh dipelajari
oleh kita untuk menjadi maju seperti Republik Korea yang satu ketika dahulu
berada jauh di belakang negara kita. Melalui penelitian penulis, beberapa
faktor yang membantu Republik Korea untuk bangkit menjadi sebuah negara maju
adalah seperti berikut :
i) Hampir 99 peratus Rakyat Republik Korea adalah homogenous,
iaitu sama keturunan serta sama bahasa, warna kulit dan budaya. Justeru itu memudahkan sebarang polisi pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh Pemerintahnya;
ii) Republik Korea mewajibkan kerahan tenaga kepada semua
warga lelakinya selama dua (2) tahun. Kerahan tenaga ini merupakan latihan ketenteraan sebenar dan pelatihnya boleh bertindak sebagai askar sekiranya peperangan benar-benar meletus, bukannya latihan ala-ala
PLKN. Tindakan ini telah melahirkan warganya yang berdisiplin tinggi dan
berani;
iii)
Republik Korea menggunakan faktor sejarah secara positif untuk
memotivasikan rakyatnya untuk berjaya. Sehingga kini, faktor serangan dan penjajahan Jepun serta kesengsaraan peperangan dengan saudara Komunis mereka di utara
digunakan sepenuhnya untuk mendidik rakyatnya agar lebih tekun berusaha;
iv) Republik Korea meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi. Wang not Korea yang terbesar iaitu 50,000 Won mengabadikan wajah Shin Saimdong, iaitu ibu kepada tokoh Konfusius Korea, Yi I. Malah, Presiden Republik Korea pada hari ini adalah seorang wanita iaitu Park Geun-Hye, yang merupakan anak kepada tokoh pembangunan Korea yang juga mantan Presiden Korea iaitu Park Chung-Hee.
iv) Republik Korea meletakkan wanita pada kedudukan yang tinggi. Wang not Korea yang terbesar iaitu 50,000 Won mengabadikan wajah Shin Saimdong, iaitu ibu kepada tokoh Konfusius Korea, Yi I. Malah, Presiden Republik Korea pada hari ini adalah seorang wanita iaitu Park Geun-Hye, yang merupakan anak kepada tokoh pembangunan Korea yang juga mantan Presiden Korea iaitu Park Chung-Hee.
info yang menarik..teringin pulak nak melancong ke korea kalau ada rezeki...
ReplyDeleteKalau ada rezeki lebih, dialu-alukan untuk ke Korea puan. Sangat menarik..
ReplyDelete